
SHAH ALAM: Pemilik banglo sebahagian anjungnya yang sedang diubahsuai di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7, di sini, yang runtuh petang kelmarin bakal berdepan hukuman selepas disahkan gagal mengemukakan pelan tambahan pengubahsuai rumah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan pemilik banglo yang dianggarkan berharga RM3 juta itu berdepan hukuman penjara sehari dan denda RM250,000.
“Tindakan terhadap pemilik banglo itu boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Seksyen 70 (1) Akta Parit, Jalan dan Bangunan atau Akta 133 kerana kesalahan membina tanpa kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, semalam. Mohd Jaafar berkata, siasatan awal mendapati empat banglo di kawasan berkenaan yang mendapat kelulusan pembinaan pada 2009 itu melakukan kerja penambahan dan pengubahsuaian tetapi dua daripadanya termasuk banglo yang anjungnya runtuh itu tidak mendapat kelulusan daripada MBSA.
Katanya, kawasan perumahan elit itu mempunyai 26 unit banglo dengan lima reka bentuk berbeza dibina syarikat perumahan Sejagat Emas Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Ia sudah menerima sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan pada 29 Disember 2011.
“Sijil CCC yang diterima daripada jurutera bertauliah yang membina banglo berkenaan adalah pengesahan ia selamat diduduki tetapi untuk kerja pengubahsuaian dan penambahan pemilik perlu mengemukakan pelan berlainan kepada MBSA bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Jaafar meminta pemilik banglo terbabit tampil memberi kerjasama kepada MBSA bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, punca runtuhan belum diperoleh kerana pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
sumber : harian metro 20/10/2012
No comments:
Post a Comment